ummie ainanina sweet home

Friday, 5 July 2013

Tips menyusu

Apa yang anda dan bayi anda perlukan semasa menyusu?

Sesetengah kalori yang diperlukan untuk penghasilan susu badan dibekalkan oleh simpanan lemak badan semasa kehamilan. Walaubagaimanapun, kalori tambahan diperlukan melebihi had pengambilan pra kehamilan anda untuk memberikan tenaga yang secukupnya untuk membekalkan keperluan bayi anda yang sedang membesar. Apabila anda mula mencerai susu dengan bayi anda, keperluan kalori anda akan kembali ke tahap pra kehamilan secara perlahan. Kajian terbaru mencadangkan bahawa tambahan sebanyak 300-400 kalori sehari sudah cukup untuk wanita yang menyusui semasa tiga bulan pertama. 

Apa yang perlu saya makan?

Anggap penyusuan badan sebagai motivasi berterusan untuk mengikuti diet yang sihat sepertimana yang anda ikuti semasa kehamilan. Fokus ke atas pengambilan bijiran penuh seperti nasi perang dan bijiran, buah-buahan dan sayur-sayuran segar dan makanan yang memberikan banyak protin, kalsium dan zat besi (dan seperti biasa, makanan ringan sekali-sekala adalah okay). Pilih snek yang berkhasiat seperti yogurt, kekacang dan kekeras, telur dan sandwic yang diperbuat daripada roti gandum penuh. Adalah baik jika anda menghadkan pengambilan makanan bergoreng dan juga makanan yang disediakan dengan minyak sapi dan santan kelapa. Dalam sesetengah komuniti, mungkin terdapat pantang-larang terhadap sesetengah jenis makanan untuk bulan pertama atau 44 hari selepas kelahiran. Walau bagaimanapun, pakar-pakar tetap mengatakan bahawa anda tidak perlu menghadkan diet anda kecuali bayi anda menunjukkan tanda-tanda sensitif selepas menyusu. 

Minum banyak air untuk mengekalkan bekalan susu anda

Pastikan anda minum banyak air – lapan sehingga 12 gelas air sehari adalah mencukupi. Untuk kepelbagaian, anda boleh pilih jus buah-buahan atau sayur-sayuran, air kurma merah, susu soya tiada gula dan minuman dadeh. Ini akan membantu badan anda untuk menghasilkan susu yang diperlukan oleh bayi anda. 

Berjaga-jaga dengan apa yang anda makan dan minum

Dalam sesetengah budaya, seorang ibu yang baru melahirkan anak selalunya digalakkan untuk makan makanan istimewa yang dianggap lebih berkhasiat. Dalam keluarga Cina yang lebih tradisional, sup akan ditambah dengan brandi atau wain Cina dengan jumlah halia dan minyak bijan yang banyak. Dalam komuniti yang lain, biji lada, herba dan rempah tradisional diambil untuk "memanaskan" badan. Semua ini, jika diambil berlebihan, akan sampai ke bayi anda melalui susu badan anda. Sila beringat bahawa bahan seperti kafein, alkohol dan toksin lain boleh meresap ke susu badan anda, jadi anda perlu mengelak dari memakannya secara berlebihan. Nikotin dari rokok dan ubat juga boleh masuk ke dalam susu badan anda dan perlu dielakkan (doktor anda boleh menasihatkan anda mengenai kesesuaian ubat-ubat tertentu bagi rawatan). Anda boleh mengetahui jika anak anda sensitif kepada sesuatu yang anda makan atau minum kerana dia akan menunjukkan ketidakselesaannya dengan menjadi resah selepas menyusu, menangis tidak boleh ditenangkan atau tidak lena tidur. Jika bayi anda alah kepada sesuatu yang anda makan, anda boleh lihat reaksi pada kulitnya (ruam atau gatal-gatal), dalam pernafasannya bunyi berdehit atau kesesakan), atau dalam najisnya (warna hijau atau bermukus). Hubungi pakar pediatrik anda untuk nasihat lanjut. Sesetengah wanita tahu bahawa makanan berempah atau pedas akan memberi masalah kepada bayi mereka, jadi proses mencuba adalah panduan terbaik anda sebab makanan yang merangsang keadaan tidak selesa berbeza dari satu bayi ke bayi yang lain. Jika anda boleh makan ayam halia atau sayur kari pedas tanpa membawa masalah kepada bayi anda, makanlah. Sebagai satu peringatan kepada anda – beberapa punca kolikyang biasa ialah brokoli, kubis, bawang dan kubis Brussels. 

Dapatkan zat besi yang banyak

Jika anda mengambil vitamin tambahan semasa anda hamil, anda tidak perlu mengambilnya lagi selepas kelahiran bayi anda. Walau bagaimanapun, anda mungkin memerlukan zat besi tambahan. Ramai wanita telah menggurangkan simpanan zat besi mereka semasa tahun-tahun subur mereka. Tanyalah pakar obstetrik, doktor keluarga atau GP anda untuk mendapat nasihat. Jika anda terus mengambil vitamin tambahan, ingatlah bahawa itu tidak boleh menggantikan habit pemakanan yang tidak baik. Berusahalah untuk mengambil diet yang seimbang dan pelbagai. 

No comments:

Post a Comment